20140819

Apabila Tun Mahathir bersuara


1. Ada orang yang memberitahu kepada Dato Seri Najib Tun Razak yang saya telah memburukkan pemerintahannya.

2. Saya tidak akan menyangkal kerana saya telah berkali-kali menegur dasar-dasar Kerajaan sekarang.

3. Saya menegur kerana saya berpendapat pemimpin yang tidak ditegur akan percaya segala-gala yang dilakukan oleh mereka baik-baik belaka. Hanya apabila ditegur sahaja barulah pemimpin akan sedar akan kesalahan dan mungkin akan memperbetulkannya.

4. Izinkan saya mencerita cerita dongeng berkenaan seorang raja Inggeris. Ia dikelilingi dengan ramai dato-dato yang mendakwa dia adalah seorang raja yang amat berkuasa keatas segala-galanya. Demikian pasang-surut air di laut pun akan patuh kepada perintahnya.

5 Alkesah, maka pada satu hari raja menitah untuk meletakkan takhtanya di pantai menghadapi laut.

6. Air sedang pasang dan raja bertanya kepada dato-datonya apakah baginda boleh hentikan air pasang supaya tidak basahkan kakinya.

7. Jawab mereka, “Ya, Tuanku. Air tidak akan sampai kaki Tuanku.”

8. Maka raja pun menitah supaya air laut itu tidak naik lagi.

9. Tetapi air laut itu terus pasang dan kena pada kaki baginda. Maka baginda pun murka kepada dato-datonya.

Demikianlah sikap dato-dato kerana ingin menyenangkan hati raja mereka.

10. Satu lagi cerita dongeng juga ialah berkenaan dato-dato istana yang tidak pernah menegur raja. Mereka sepanjang masa mengiyakan saja apa juga yang dilakukan oleh raja.

11. Satu hari raja masuk dewan dalam keadaan bogel. Baginda bertanya cantikkah pakaiannya. Semua angguk kepala dan berkata “Ya Tuanku”.

12. Hanya seorang budak yang berkata, “Tuanku bogel.”

13. Maka raja pun murka akan dato-datonya yang tidak berkata yang benar apabila dia bogel.

14. Kita boleh dapat sedikit pelajaran dari cerita-cerita dongeng ini.

15. Orang Melayu mempunyai banyak pepatah yang boleh jadi panduan dalam kehidupan mereka. Antaranya ingin saya sebut disini:

“Sayangkan anak tangan-tangankan
Sayangkan isteri tinggal-tinggalkan”

Dengan izin saya ingin menambah sedikit kepada pepatah ini.

“Sayangkan pemimpin tegur-tegurkan”


16. Saya lihat bagaimana orang Melayu tidak mudah menegur pemimpin. Walaupun pemimpin jelas bersalah, tidak ada siapa yang sanggup menegur secara terbuka. Tetapi di belakang pemimpin mereka akan keluarkan kata-kata yang kesat terhadapnya.

17. Mungkin saya berbeza sedikit dari Melayu lain. Apabila YTM Tunku membuat beberapa dasar dan tindakan yang tidak disenangi oleh ramai orang Melayu, saya menulis surat menegur Tunku.

18. Walaupun kerananya saya dipecat, tetapi YTM Tunku meletak jawatan sebagai Perdana Menteri. Mungkin bukan kerana teguran saya, tetapi hakikatnya Tunku mengundur diri.

19. Demikian juga dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Mungkin kerana teguran, mungkin kerana prestasi buruk Pilihanraya ke 12. Tetapi hakikatnya Tun Abdullah juga letak jawatan.

20. Saya sendiri pun letak jawatan. Sebahagian dari sebabnya ialah kerana saya dengar bisik-bisik yang menyoal “Bila lagi orang tua ini akan pergi.” Saya percaya jika saya tidak letak jawatan, bisik akan jadi jeritan.

21. Pilihan saya bagi mengganti Tun Abdullah ialah Dato Seri Najib. Setelah beberapa lama dilihat bahawa dasar dan tindakan Dato Seri Najib tidak lebih berkesan dari Tun Abdullah.

22. Saya tidak sangka yang pencapaiannya dalam Pilihanraya Umum ke13 lebih buruk dari Tun Abdullah.

23. Harapan saya Dato Seri Najib akan mengambil ikhtibar dari prestasinya yang buruk dalam Pilihanraya Umum ke 13.

Malangnya sehingga kini tidak ternampak apa-apa perubahan dari segi dasar atau pendekatan walaupun saya cuba menyampaikan pendapat saya, (yang juga pendapat ramai yang datang bertemu saya) secara langsung kepada Dato Seri Najib.

24. Saya tidak ada pilihan selain dari menarik balik sokongan saya. Ini pun tidak berkesan. Oleh itu terpaksalah saya menegur.

25. Apakah dianya yang saya fikir salah. Ia bermula dengan pendirian melayani semua tuntutan musuh. ISA dan undang-undang buang daerah dimansuh. Tindakan ini tidak sedikit pun mengurangkan tentangan oleh parti lawan. Sebaliknya jenayah bertambah dengan banyaknya kerana pembebasan ketua-ketua geng.

26. Demikian juga dengan sikap merendah diri kepada negara jiran sehingga urusan dalam negeri pun tertakluk kepada pendapat Kerajaan negara jiran.

27. Tetapi pendapat kaum dan parti yang kuat menyokong untuk menyelamatkan kedudukan Kerajaan tidak diberi layanan yang saksama.

28. Wang Kerajaan diguna untuk mempengaruhi sokongan rakyat apabila sahaja pilihanraya umum diadakan. Ini menjadikan rakyat terlalu bergantung kepada Kerajaan untuk segala-galanya. Bagi yang betul-betul miskin, bantuan seperti ini memanglah wajar. Tetapi beribu rakyat yang ditawar menolak bantuan wang seperti ini. Semangat rakyat untuk bekerja menjadi luntur apabila mereka diberi ganjaran tanpa apa-apa usaha oleh mereka. Semangat ini tidak akan menolong pembangunan Negara.

29. Dasar ekonomi mengutamakan tuntutan pengguna. Impot barangan digalakan dan industri tempatan diabaikan, bahkan dihalang oleh dasar Kerajaan.

30. Cuti ditambah sehingga adakalanya pekerja bercuti lebih satu minggu. Sebaliknya gaji minimum dinaikkan tanpa mengambilkira kenaikan kos yang boleh menjadi perniagaan dan perusahaan tidak bedayasaing dengan barangan impot.

31. Sesungguhnya banyaklah dasar, pendekatan dan perbuatan Kerajaan pimpinan Dato Seri Najib yang merosakkan hubungan antara kaum, merosakkan ekonomi dan kewangan negara.

32. Semua ini disebabkan penyokong Kerajaan tidak pernah menegur pemimpin.

33. Jikalau tiada siapa yang sanggup menegur, biarlah saya menegur. Saya pernah dipecat oleh Tunku Abdul Rahman, dipulau oleh Datuk Seri Abdullah dan difitnah oleh ramai. Jika kerana menegur saya akan didera, terpaksalah saya terima.

34. Bukanlah saya tidak sayang pemimpin. Tetapi saya lebih sayang bangsa dan negara saya.

No comments:

Anda juga mungkin meminati :

Related Posts with Thumbnails

follow me